Al-Qur’an dari segi bahasa bererti bacaan
atau baca. Al-Qur’an ialah kalam Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi
Muhammad SAW yang termaktub dalam al-Mashaf, dipindahkan kepada manusia secara
mutawatir, yang diibadatkan bacaannya, diturunkan kepada Rasulullah SAW secara
beransur-ansur dengan lafaz dan makna dari Allah SWT melalui bahasa Arab.
Firman Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya
Kamilah yang berkuasa mengumpul al-Quran itu dalam dadamu dan menetapkan
bacaannya pada lidahmu, oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya
kepadamu, dengan perantaraan Jibril maka bacalah menurut bacaannya itu.”
(al Qiamah: 17-18)
Beriman dengan Al-Qur’an bermaksud percaya serta membenarkan tanpa sebarang keraguan bahawa
kitab dan kalam Allah SWTyang terakhir diturunkan ialah al-Qur’an yang diturunkankan
oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Lafaz dan makna al-Qur’an adalah
daripada Allah SWT. Al-Quran telah disempurnakan oleh Allah dan terpelihara
daripada sebarang tambahan dan kekurangan.
Allah
SWT telah mengurniakan nikmat dan rahmat dengan menurunkan kitab al-Qur’an
yang tidak ada sebarang keraguan dalam kandungan dari dahulu sehingga kini. Al-Qur’an
dipenuhi mukjizat dan keagungan yang tiada tolok bandingnya. Ianya juga sebagai
sumber ilmu bagi umat Islam dan petunjuk jalan kebenaran. Firman Allah yang
bermaksud:
“Sesungguhnya al-Qur'an ini
memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang
yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala
yang besar. ” (al Israa: 9)
Tujuan al-Quran di turunkan:
1. Menjadi
mukjizat yang menunjukkan kebenaran Rasulullah SAW.
2. Sebagai
petunjuk dan panduan serta peraturan dalam seluruh kehidupan manusia dan
beriktikad bahawa Allah SWT menurunkan al-Quran untuk dijadikan pedoman hidup .
3. Menjadi
Bacaan yang diberi pahala dengan membacanya. Allah SWT memberi pahala yang amat
besar kepada orang yang membaca al-Quran, tiap-tiap satu huruf ada pahalanya
dan tiap-tiap satu ayat pun ada pahalanya yang tidak sama antara satu dengan
yang lain. Hadis nabi SAW:
Daripada Ibnu Mas’ud r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah
bersabda; Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu
kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif
Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.
Beriman dengan al-Qur’an bukan sekadar
percaya bahawa al-Qur’an itu daripada Allah tetapi lebih dari itu iaitu mesti
dipelajari, difahami, dilaksanakan dan diamalkan.
Beramal dengan al-Quran mampu membentuk jati diri yang teguh, menjadikan manusia terdidik
dengan akhlak dan budi pekerti tinggi, rajin berusaha dan berilmu tinggi.
Segala-gala ini dapat dicapai apabila mereka bertadabbur memahami al-Quran
dan beramal dengannya. al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama
dalam apa juga kegiatan hidup sama ada dari sudut akidah, syariat dan akhlak,
khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai
kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Beramal dengan al-Quran adalah dengan
cara:
1.
Mempelajari
Mempelajari al-Qur’an dapat dimulai dengan mempelajari ilmu-ilmu dasarnya.
Diantara ilmu-ilmu tersebut adalah Ilmu tetang cara membaca al-Qur’an
(Tajwid), Ilmu Bahasa al-Qur’an (bahasa
Arab), Ilmu Kaedah tulisan al-Qur’an (Khat), Ilmu tentang seni membaca al-Qur’an
(Tilawah), Ilmu tentang perbezaan cara-cara membaca Al-Qur’an (Gharaibul Ayat
dan Qira’ah Sab’ah), Ilmu tentang sebab-sebab turunnya ayat (Asbabun Nuzul)
Dengan mempelajari beberapa ilmu dasar di atas, kita akan dapat membaca al-Qur’an
dengan baik, benar, fasih, serta berpengetahuan luas.
2. Membaca
Membaca al-Qur’an dengan betul bacaan, beradab serta memahami maksud
ayat-ayat al-Qur’an. Ia perlu dibaca dengan tertib agar setiap ayat yang dibaca
mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.
3. Mengamalkan
Kita harus mengamalkan apa yang dibaca. Seharusnya setelah membaca,
mengkaji dan merenungkan ayat yang dibaca, ia diamalkan dengan jiwa keimanan
yang tinggi dan menjadi amalan. Berakhlak seperti al-Qur’an sebagaimana yang
Rasulullah ajarkan.
Mengamalkan bererti juga mengajarkannya kepada orang lain, seluruh muslimin
yang belum menguasai al-Qur’an, sehingga ilmu kita terus terpelihara.
4. Menjaga
Menjaga al-Qur’an agar tidak disalah gunakan, disalah tafsirkan oleh
orang-orang yang kurang ilmu Al-Qur’annya. Memelihara kesucian al-Quran
sehingga hari kiamat.
Salah satu penjagaan terhadap al-Qur’an adalah dengan menghafaz ayat-ayat
Al-Qur’an kerana orang yang membaca al-Quran akan mendapat syafaat al-Qur’an di
hari kiamat. Sabda Nabi:
Dari Abu Umamah bin Al-Bahili : "Bacalah al-Qur'an.
Sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat bagaikan memberi Syafaat kepada
tuannya ." - Muslim
Dengan mengamalkan kandungan
al-Qur’an, kita telah mencapai tujuan al-Qur’an diturunkan. Para ilmuan telah
menggariskan bahawa yang dituntut ke atas kita terhadap al-Qur’an adalah:
1. Beriman
kepadanya.
2. Membacanya
dengan disiplin tajwid yang betul.
3. Menelaahnya,
yakni memerhati dan mengkaji kandungannya (tadabbur).
4. Mengamalkannya
dalam segala aspek kehidupan.
5. Menyampaikannya
sama ada untuk tujuan dakwah atau menegakkan hujah.
6. Memeliharanya daripada tuduhan
orientalis dan penyelewengan segelintir umat Islam.
Sabda Nabi SAW: Dari Muaz bin Anas,
" Sesiapa yang membaca al-Qur'an dan beramal dengan apa yang terdapat di
dalamnya, Allah akan memakaikan kedua ibu bapanya mahkota pada Hari Kiamat
kelak. Cahaya mahkota tersebut lebih indah daripada cahaya matahari terhadap
rumah-rumah yang ada di dunia ini. Maka, apakah pandangan kamu tentang balasan
yang akan diperolehi oleh orang yang membacanya sendiri ?" - Abu Daud