Blogger Templates

Saturday, February 2, 2013

Peristiwa besar selepas Hari Qiamat


 
Semua makhluk akan menghadapi peringkat demi peringkat peristiwa selepas kehancuran alam ini bermula dengan kebangkitan di padang Mahsyar, hisab, mizan, menerima suratan amalan, meniti sirat dan akhirnya ke syurga atau neraka dan kekal abadi selama-lamanya.

3 peristiwa besar selepas kehancuran :


1. HARI KEBANGKITAN / YAUMUL BA'ATS


Hari kebangkitan ialah hari dibangkitkan seluruh manusia yang pernah hidup di dunia baik tua, muda, kecil, besar dari mati untuk dihitung amal perbuatan selama hidup di dunia. Peristiwa ini terjadi selepas malaikat Israfil meniup sangkakala yang kedua. Seluruh manusia akan bangkit kembali dangan jasad/ tubuh  dengan raut wajah berbeza-beza sesuai amal perbuatannya. Mereka berduyun-duyun menuju ke Padang Mahsyar. Orang-orang yang soleh berjalan dengan menggunakan kakinya dan orang-orang yang ingkar (kafir) akan berjalan dengan mukanya. Wajah orang yang sentiasa berwuduk tampak putih dan bercahaya.
 
2. YAUMUL MAHSYAR

Yaumul Mahsyar adalah tempat dikumpulkan seluruh manusia dan makhluk dari permulaan zaman Nabi Adam a.s sehingga akhir zaman untuk  dibicarakan oleh Allah. Setelah dibangkitkan manusia dikumpulkan di Padang mahsyar untuk menunggu hisab (perhitungan) yang berkaitan dengan amal yang mereka lakukan di dunia. Pada saat itu keadaan manusia berbeza-beza, sesuai dengan perbezaan amalnya di dunia.

Allah menerangkan keadaan Padang Mahsyar di dalam al-Quran:


"Dan akan bersinar terang benderanglah bumi (hari Akhirat) dengan cahaya Tuhannya dan akan diberikan Kitab suratan amalan (untuk dibicarakan); dan akan membawa nabi-nabi serta saksi-saksi; dan akan dihakimi di antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dikurangkan balasan sedikitpun. Dan akan disempurnakan bagi tiap-tiap seorang balasan apa yang telah dikerjakannya, dan Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka telah lakukan." (Az-Zumar: 69-70)
Setelah diadili manusia akan menerima suratan amalan dan mengetahui keputusan sama ada tergolong dalam Ashabul Yamin (ahli syurga ) atau Ashabul Syimal (ahli neraka). Ashabul Yamin akan menerima suratan amalan dari sebelah kanan bermakna mereka adalah golongan yang bernasib baik dan berbahagia seterusnya menjadi ahli syurga, manakala Ashabul Syimal adalah sebaliknya.
 
3. MENITI TITIAN AS-SIRAT
As-Sirat ialah jalan (jambatan) terletak di atas nerka Jahannam yang akan dilalui oleh semua manusia yang kembali dari padang Mahsyar setelah menerima suratan amalan masing-masing.
Setelah selesai diadili oleh Allah SWT, masing-masing telah tahu keputusan sama ada mereka termasuk dalam golongan Ashabul Yamin (ahli syurga) atau Ashabul Syimal (ahli neraka), mereka akan melaui titian Sirat Al-Mustaqim. Ahli syurga akan melalui dengan selamat dan sampai kepenghujung, dari situ mereka akan menuju ke syurga. Ahli neraka pula akan melalui dan jatuh bergelimpangan ke bawah yang bererti mereka masuk ke api neraka Jahannam.
Firman Allah SWT: "Dan tiada seorang pun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan Kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufuran dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu." (Maryam:71-72)