Blogger Templates

Monday, December 9, 2013

Imam Al Ghazali berkata


Imam Al Ghazali berkata

Pelajarilah ilmu. 
 Mempelajarinya kerana Allah S.W.T adalah taqwa.  
Menuntut ilmu adalah ibadah.  
Mengulanginya adalah tasbih. 
 Membahaskanya adalah jihad.  
Mengajar orang yang tidak tahu itu sedekah. 
 Memberitahu kepada keluarga adalah usaha mendekatkan diri kepada Tuhan. 
 Ilmu itu teman waktu sedirian dan kawan waktu kesepian, penunjuk jalan kepada agama, penasihat yang sabar waktu suka dan duka. 
 Seorang menteri di tengah-tengah teman sejawat, seorang keluarga di tengah-tengah keterasingan dan sinar jalan ke syurga.  
Dengan ilmu beberapa kaum diangkat darjatnya oleh Allah S.W.T, lalu dijadikan mereka pemimpin, ketua  dan penunjuk pada jalan kebaikan.  
Jejak mereka diikuti, perbuatan mereka diperhatikan. 
 Malaikat menaungi penuntut ilmu dengan sayapnya.  
Seluruh makhluk sama ada yang basah dan kering meminta ampun bagi dosa mereka (ilmuwan), hatta ia haiwan di laut, binatang buas dan binatang jinak di darat, termasuk langit dan bintang-bintangnya.

Hikmah, Mauizatul alhasanah dan Mujadalah billati hiya ahsan


Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
An-Nahl, ayat 125
1.        Hikmah
Berdakwah dengan cara hikmah kebijaksanaan.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “ Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing” (riwayat Muslim)
Semasa proses menyampaikan dakwah atau ilmu, ia memerlukan keadah-kaedah tertentu kerana jika ia disampaikan dengan cara sambil lewa atau tidak berhikmah, pengajaran atau dakwah guru itu tidak akan sampai atau tidak memberi kesan. Contohnya, apabila menegur kesalahan murid, gunakan cara yang berhikmah dengan tidak mengaibkan atau menyebut nama murid yang bersalah dihadapan murid lain. Bersabar dan fikirkan kaedah yang terbaik bagi menangani murid yang bermasalah. Rasulullah SAW berpesan, “Sesiapa yang menutup aib manusia lain di dunia, nescaya Allah akan menutup aibnya pada hari akhirat.” 

2.                  Mauizah alhasanah
Berdakwah melalui nasihat  dan pengajaran yang baik 
Perkataan mauizah al-hasanah membawa maksud sebagai jalan untuk menyampaikan dakwah dan uslub berdakwah bertujuan untuk mendekati bukan menjauhkan, memudahkan bukan menyusahkan, mengasihi dan bukan menakutkan. Menurut Imam al-Ghazali,  mauizah al-hasanaha adalah beberapa pengajaran dan nasihat yang berdasarkan kepada apa yang terkandung dalam al-Quran  dan aspek perkhabaran yang mengembirakan dan ancaman yang menakutkan kemudian disertai dengan kesabaran dan keikhlasan dalam nasihat yang diberikan.

3.             Mujadalah billati hiya ahsan
Berdakwah melalui berbahas  dengan cara yang baik
Al-mujadalah bermaksud perbincangan dan perbahasan dengan mengemukakan hujah dan dalil yang dapat menerangkan sesuatu maksud yang tidak jelas. Menurut imam al-Ghazali, al-mujadalah adalah perdebatan yang berlaku antara pendakwah dengan orang yang didakwah hendaklah dilakukan dengan  cara berhati-hati dan berlemah lembut hingga membangkitkan kesedaran kepada hati, pengajaran pada jiwa dan kejernihan pada akal. Matlamat  al-mujadalah adalah untuk membuka pemikiran  mad’u serta menghilangkan kekeliruan dan menjelaskan kebenaran.

Beriman dan Beramal dengan al-Quran




Al-Qur’an dari segi bahasa bererti bacaan atau baca. Al-Qur’an ialah kalam Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang termaktub dalam al-Mashaf, dipindahkan kepada manusia secara mutawatir, yang diibadatkan bacaannya, diturunkan kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur dengan lafaz dan makna dari Allah SWT melalui bahasa Arab. Firman Allah yang bermaksud :

 “Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpul al-Quran itu dalam dadamu dan menetapkan bacaannya pada lidahmu, oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya kepadamu, dengan perantaraan Jibril maka bacalah menurut bacaannya itu.”
(al Qiamah: 17-18)

Beriman dengan Al-Qur’an bermaksud percaya serta membenarkan tanpa sebarang keraguan bahawa kitab dan kalam Allah SWTyang terakhir diturunkan ialah al-Qur’an yang diturunkankan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Lafaz dan makna al-Qur’an adalah daripada Allah SWT. Al-Quran telah disempurnakan oleh Allah dan terpelihara daripada sebarang tambahan dan kekurangan.

Allah SWT  telah mengurniakan nikmat dan rahmat dengan menurunkan kitab al-Qur’an yang tidak ada sebarang keraguan dalam kandungan dari dahulu sehingga kini. Al-Qur’an dipenuhi mukjizat dan keagungan yang tiada tolok bandingnya. Ianya juga sebagai sumber ilmu bagi umat Islam dan petunjuk jalan kebenaran. Firman Allah yang bermaksud:

 Sesungguhnya al-Qur'an ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. ” (al Israa: 9)

Tujuan al-Quran di turunkan:
1.         Menjadi mukjizat yang menunjukkan kebenaran Rasulullah SAW.
2.         Sebagai petunjuk dan panduan serta peraturan dalam seluruh kehidupan manusia dan beriktikad bahawa Allah SWT menurunkan al-Quran untuk dijadikan pedoman hidup .
3.         Menjadi Bacaan yang diberi pahala dengan membacanya. Allah SWT memberi pahala yang amat besar kepada orang yang membaca al-Quran, tiap-tiap satu huruf ada pahalanya dan tiap-tiap satu ayat pun ada pahalanya yang tidak sama antara satu dengan yang lain. Hadis nabi SAW:

Daripada Ibnu Mas’ud r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda; Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.

Beriman dengan al-Qur’an bukan sekadar percaya bahawa al-Qur’an itu daripada Allah tetapi lebih dari itu iaitu mesti dipelajari, difahami, dilaksanakan dan diamalkan.

Beramal dengan al-Quran mampu membentuk jati diri yang teguh, menjadikan manusia terdidik dengan akhlak dan budi pekerti tinggi,  rajin berusaha dan berilmu tinggi. Segala-gala ini dapat dicapai apabila mereka bertadabbur  memahami al-Quran dan beramal dengannya. al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup sama ada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Beramal dengan al-Quran adalah dengan cara:

1.      Mempelajari
Mempelajari al-Qur’an dapat dimulai dengan mempelajari ilmu-ilmu dasarnya. Diantara ilmu-ilmu tersebut adalah Ilmu tetang cara membaca al-Qur’an (Tajwid),  Ilmu Bahasa al-Qur’an (bahasa Arab), Ilmu Kaedah tulisan al-Qur’an (Khat), Ilmu tentang seni membaca al-Qur’an (Tilawah), Ilmu tentang perbezaan cara-cara membaca Al-Qur’an (Gharaibul Ayat dan Qira’ah Sab’ah), Ilmu tentang sebab-sebab turunnya ayat (Asbabun Nuzul)
Dengan mempelajari beberapa ilmu dasar di atas, kita akan dapat membaca al-Qur’an dengan baik, benar, fasih, serta berpengetahuan luas.

2.    Membaca
Membaca al-Qur’an dengan betul bacaan, beradab serta memahami maksud ayat-ayat al-Qur’an. Ia perlu dibaca dengan tertib agar setiap ayat yang dibaca mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.

3.    Mengamalkan
Kita harus mengamalkan apa yang dibaca. Seharusnya setelah membaca, mengkaji dan merenungkan ayat yang dibaca, ia diamalkan dengan jiwa keimanan yang tinggi dan menjadi amalan. Berakhlak seperti al-Qur’an sebagaimana yang Rasulullah ajarkan.
Mengamalkan bererti juga mengajarkannya kepada orang lain, seluruh muslimin yang belum menguasai al-Qur’an, sehingga ilmu kita terus terpelihara.

4.    Menjaga
Menjaga al-Qur’an agar tidak disalah gunakan, disalah tafsirkan oleh orang-orang yang kurang ilmu Al-Qur’annya. Memelihara kesucian al-Quran sehingga hari kiamat.
Salah satu penjagaan terhadap al-Qur’an adalah dengan menghafaz ayat-ayat Al-Qur’an kerana orang yang membaca al-Quran akan mendapat syafaat al-Qur’an di hari kiamat. Sabda Nabi:

Dari Abu Umamah bin Al-Bahili : "Bacalah al-Qur'an. Sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat bagaikan memberi Syafaat kepada tuannya ." - Muslim

Dengan mengamalkan kandungan al-Qur’an, kita telah mencapai tujuan al-Qur’an diturunkan. Para ilmuan telah menggariskan bahawa yang dituntut ke atas kita terhadap al-Qur’an adalah:

1. Beriman kepadanya.
2. Membacanya dengan disiplin tajwid yang betul.
3. Menelaahnya, yakni memerhati dan mengkaji kandungannya (tadabbur).
4. Mengamalkannya dalam segala aspek kehidupan.
5. Menyampaikannya sama ada untuk tujuan dakwah atau menegakkan hujah.
6. Memeliharanya daripada tuduhan orientalis dan penyelewengan segelintir umat Islam.

Sabda Nabi SAW: Dari Muaz bin Anas, " Sesiapa yang membaca al-Qur'an dan beramal dengan apa yang terdapat di dalamnya, Allah akan memakaikan kedua ibu bapanya mahkota pada Hari Kiamat kelak. Cahaya mahkota tersebut lebih indah daripada cahaya matahari terhadap rumah-rumah yang ada di dunia ini. Maka, apakah pandangan kamu tentang balasan yang akan diperolehi oleh orang yang membacanya sendiri ?" - Abu Daud